Anjung ABUAIMAN

HIDROLOGI & SUMBER AIR

Posted on: August 20, 2008

PENGENALAN

Air merupakan bahan asas kepada kejadian semua benda hidup (Al-Quran, 2000 : Al-Anbiya : 30). Sebagai asas pembentukan kejadian, manusia mengandungi 70% air (Carhart, 1951) manakala bahan organik memerlukan air antara 60 – 70% (Clapham, 1973). Sebagai suatu keperluan untuk semua benda-benda hidup yang terdapat di alam semesta ini, air merupakan suatu elemen yang seiringan dengan perkembangan tamadun manusia kerana pembangunan dan perkembangan masyarakat manusia sangat berkait rapat dengan pengedaran dan ketersampaian air kepada mereka (Ward dan Robinson, 1990). Ahli sains percaya manusia silam pada satu ketika dulu adalah semiaquatic kerana kecenderungannya untuk tinggal berhampiran dengan air. Ini terbukti apabila banyak tamadun lama yang terkenal dijumpai di sepanjang sungai. Sebagai contohnya Tamadun Sumerian di sepanjang Sungai Tigris – Euphrates, Tamadun Egypt di sepanjang Sungai Nile, Tamadun Indus-India di sepanjang Sungai Indus (India), Tamadun China di sepanjang Sungai Huang Ho – Yellow River (China) dan sebagainya (Biswas, 1970).

Air merupakan merupakan satu sumber (resources) yang menjadi perhatian ahli geografi (Chorley and Kates, 1969 : 3). Dalam konteks umum, kajian air merujuk kepada istilah hidrologi yang member fokus kepada kajian ke atas kewujudan/taburan, ciri-ciri dan pergerakan air di dalam atau di antara komponen-komponen fizikal dan biologi dalam alam sekitar (Thompson, 1999 : 1). Taburan air yang unik mengikut ruang dan masa disebabkan oleh satu proses enjin terhebat alam sekitar dikenali kitaran hidrologi. Enjin raksaksa ini berperanan mengerakkan air dalam bentuk kitaran tanpa henti daripada lautan ke atmosfera, ke tumbuhan dan permukaan daratan, ke dalam tanih, ke dalam alur-alur atau reservoir dan balik semula ke lautan. Pergerakan-pergerakan ini dapat menghubung dan memindahkan bahan dan tenaga kepada semua komponen-komponen alam sekitar (bumi) agar ia menjadi satu sistem yang hidup dan dinamik. Interaksi yang tidak pernah putus antara semua komponen alam sekitar dijalankan melalui proses-proses penting seperti kerpasan, sejatan dan perpeluhan, susupan dan larian permukaan.

DEFINISI HIDROLOGI

Hidrologi ialah bidang sains yang mengambil kira AIR di dunia ini, kewujudan, pusingan dan taburan, sifat kimia dan fizik dan t/balas dengan persekitaran termasuk pertalian dengan benda-benda hidup (Ad-Hoc Panel on Hydrology of the Federal Council for Scince and Technology USA)

“Satu sains berkaitan dengan sifat (properties), taburan (distribution) dan Kitaran (Circulation) air khususnya kajian air on the surface of the land, in the soil and underlying rocks dan in the atmosphere (Webster’s Third New International Dictionary, 1661)

Hidrologi adalah sains yang berkaitan dengan proses mengurus kesuburan (replenishment) dan ketandusan (depletion) sumber air di kawasan daratan dunia (Wisler and Brater, 1959)

Kesimpulan : Hidrologi ialah kajian variasi secara ruangan dan masa terhadap komponen kitaran air di daratan, lautan dan atmosfera. Disamping itu ia mengkaji pergerakan dan simpanan air di atas dan bawah tanah, sifat dan proses-proses kimia dan fizikal serta kajian proses-proses biologi yang mempengaruhi simpanan dan pergerakan air serta hubungan dan pengaruhnya dengan persekitaran

DEFINISI SUMBER AIR

Sumber air (water resources) merujuk kepada pengurusan dan kegunaan air terutamanya untuk mendatangkan faedah kepada manusia. Pengurusan air merangkumi penyediaan untuk kegunaan manusia seperti bekalan air, pelupusan sisa, pengangkutan, rekreasi, kawalan banjir dan penjanaan tenaga (Thompson, 1999: 1).

Pengurusan sumber air mesti selaras dengan Deklarasi Dublin (1992)

1. Air untuk rakyat – capaian air yang bersih dan selamat,

2. Air untuk makanan dan pembangunan luar bandar

3. Air untuk pembangunan ekonomi

4. Air untuk alam sekitar – memelihara persekitaran air untuk keselamatan sumber air berkekalan

PERSPEKTIF KAJIAN HIDROLOGI & SUMBER AIR

Persepektif Ruangan : Dimana merujuk Lokasi/tempat air terdapat dan Kenapa Taburan taburan air itu berbeza dalam konteks ruang dan masa. Pendekatan ini cuba memahami corak (patterns) air dan apa proses yang menyebabkan ia berkeadaan begitu. Perspektif Ekologi : Cuba melihat melalui pendekatan Ekosistem sebagai unit asas sesuatu ekologi. Dalam ekosistem biasanya wujud salinghubungan yang dinamik di antara elemen-elemen hidup (biotik) dan bukan hidup dan juga antara subsistem. Melalui pertalian yang kompleks ini, air akan dilihat dalam konteks Simpanan (storage) dan pemindahan (fluxes)

HIDROLOGI DAN MASYARAKAT

KEGUNAAN KONSUMTIF

Penggunaan Konsumtif bermaksud air yang digunakan menyebabkan air akan berkurangan dari yang asal. Ia meliputi penggunaan untuk tujuan Domestik, Perindustrian, Pertanian & Pengairan dan Perlombongan

1. Kegunaan Domestik

Kegunaan Domestik merupakan sektor dominan yang menggunakan air bersih dari bekalan awam. Ia melibatkan penggunaan air di antara 40-60 peratus daripada bekalan air (Nik Fuad, ibid). Antara contoh kegunaan domestik termasuklah untuk air minum, memasak, mandi, mencuci rumah dan kereta, sanitari, menyiram taman serta membasuh pakaian dan pinggang mangkuk. Todd (1970) dalam kajiannya ke atas penggunaan air domestik di Amerika telah membuat beberapa anggaran penggunaan air domestik mengikut penggunaan sehari-hari. Untuk tujuan membasuh jumlah air yang digunakan sebanyak 1%, penyediaan minuman dan makanan sebanyak 5%, mandi 37%, penyiraman halaman 3%, `flushing‘ tandas 41%, basuh pinggan mangkuk 6%, pembersihan rumah 3%, dan penyucian pakaian 4%. Dianggarkan sebanyak 567 l/h diperuntukkan bagi setiap orang di Amerika yang mana 41% daripadanya adalah digunakan untuk domestik (Mather, 1984).

Bagi Malaysia, kegunaan domestik seperti mana yang ditunjukkan oleh JICA (1982b). Jumlah kegunaan domestik berdasarkan kepada jumlah penduduk dan hiraki kawasan tersebut (lihat Jadual 2.2)

Jadual 2.2Kegunaan Air Domestik Perkapita di Malaysia

Jumlah penduduk

(103)

Tahun

1990

2000

Bandar

> 1000

240

270

1000-500

220

250

500-100

200

230

100-10

190

220

Luar Bandar

125

175

Sumber : JICA, 1982b

Daripada jadual di atas, apa yang dapat dilihat bahawa pada tahun 1990, penggunaan air perkapita penduduk bandar adalah dua kali ganda berbanding penduduk luar bandar iaitu 240 liter dan 125 liter masing-masing. Bagi keadaan biasa aliran purata penggunaan domestik lebih kurang 239 l/orang/hari dan ini banyak bergantung kepada faktor iklim, status sosial, kualiti air, kos air, sistem sanitasi, tekanan air dan jenis bekalan (Nik Fuad, ibid) Penggunaan Domestik keseluruhan semakin meningkat dengan bertambahnya penduduk. Penggunaan tahunan domestik pada tahun 1980 sebanyak 533.6 X 106m3/tahun dan ia meningkat kepada 1051.5 X 106m3/tahun pada tahun 1990. Dianggarkan pada tahun 2000 jumlah penggunaan domestik ialah 1760.2 X 106m3/tahun. (JICA, ibid).

Oleh kerana Malaysia mempunyai jumlah air yang banyak, pembangunan sumber air untuk bekalan domestik berjalan dengan lancarnya. Ini jelas dengan peruntukan yang besar seperti yang dibuat dalam Rancangan Malaysia Keenam (RM6) dan Rancangan Malaysia Ketujuh (RM7). Jumlah bekalan air paip ke rumah – rumah semakin meningkat setiap tahun. Sebagai contohnya pada tahun 1990, 80% penduduk telah mendapat bekalan air paip dan ia meningkat kepada 89% dalam tahun 1995. Dianggarkan pada tahun 2000 sebanyak 95% penduduk akan mendapat bekalan air bersih (Jabatan Perdana Menteri, 1995)

2. Perindustrian

Perindustrian merupakan sektor yang penting terutamanya industri pembuatan. Menjelang tahun 2020, Malaysia ingin menjadi negara industri. Ini jelas berdasarkan kepada terdapat banyak kawasan ladang industri baru. Dalam Rancangan Malaysia Ketujuh (RM7), peruntukan yang besar diberikan untuk membangunkan sektor ini kerana ia merupakan peratus penyumbang terbesar dalam GNP dalam tempoh Rancangan Malaysia Keenam (Jabatan Perdana Menteri, 1991). Pembangunan sektor industri selaras dengan pembangunan air. Ketiadaan air menyebabkan banyak kilang-kilang terpaksa ditutup atau akan mengalami kerugian.

Mather (1984) telah mengkategorikan 6 jenis penggunaan air dalam sesebuah industri. Ia termasuklah penyejukan (cooling), penjanaan kuasa (generation of power), operasi pembuatan atau pemerosesan (processing or manufacturing operation), penyucian dan lain-lain tujuan pembersihan (clean up and other sanitary purposes), tujuan pengawasan kebakaran (fire protection) dan kegunaan lain-lain (miscellaneous). Jumlah penggunaan ini adalah berbeza daripada satu industri dengan industri yang lain. Perbezaan ini bergantung kepada jenis industri, saiz organisasi, kuantiti, kualiti, kos air serta takat proses edaran semula air (Nik Fuad, ibid). Mather (ibid) menjelaskan untuk menghasilkan satu tan besi, memerlukan antara 1,400 hingga 65,000 gallon air dan 0.8 hingga 45 galon air untuk menapis satu galon minyak.

Perkembangan industri yang baik menyebabkan permintaan terhadap air bersih turut meningkat. Permintaan air bagi industri di Semenanjung Malaysia pada tahun 1980 sebanyak 636.4 X 106m3/tahun dan ia meningkat kepada 1340.8 X 106m3/tahun pada tahun 1990. Oleh kerana penggunaan air dalam masa 10 tahun untuk industri hampir dua kali ganda, maka dalam tahun 2000 dijangkakan penggunaan air meningkat kepada 2567.2 X 106m3/tahun (JICA, ibid). Penggunaan air yang banyak oleh industri menyebabkan beberapa syarikat perkilangan terpaksa memproses semula (kitar semula) air untuk jimatkan kos. Antaranya syarikat ICI di Petaling Jaya.

3. Pertanian dan penternakan

Penggunaan air untuk pertanian dan penternakan termasuklah air yang dibekalkan kepada ladang, kebun dan kawasan penternakan haiwan. Kebanyakan air untuk pertanian digunakan untuk tujuan pengairan. Air yang digunakan ini berpunca daripada air permukaan melalui parit ke kawasan kawasan penanaman. Pengairan ditumpukan terutamanya untuk penanaman padi sawah dua kali setahun. Ia menggunakan hampir 80% daripada keseluruhan jumlah air di Malaysia (JICA, 1982c). Untuk tujuan ini beberapa skim pengairan telah dibuat dan yang paling awal di Kerian pada tahun 1880. Ia yang membekalkan air ke sawah-sawah bagi penanaman sekali setahun. Selepas itu beberapa skim pengairan telah dibina bagi menghadapi kekurangan air. Antaranya projek pengairan Tanjung Karang dan projek pengairan Sg. Manik. Beberapa lagi empangan telah dibina untuk menampung program penanaman dua kali setahun. Antaranya Empangan Muda di Kedah, Empangan Kemubu di Kelantan, Empangan Tima Tasoh di Perlis. Sehingga tahun 1980 sebanyak 832 skim pengairan telah diwujudkan di seluruh Malaysia.

Berdasarkan perangkaan pengairan yang telah dibuat oleh JICA (1982e), jumlah purata tahunan permintaan air sebanyak 7 X 109m3/tahun dalam tahun 1980 yang mana ia mengairi kawasan seluas 301,769 ha pada musim utama. Jumlah ini meningkat kepada 8.3 X 109m3/tahun dengan keluasan kawasan yang diairi kira-kira 392,055 ha pada tahun 1990. Peningkatan beras yang meningkat disebabkan pertambahan penduduk menyebabkan keluasan kawasan yang digunakan untuk penanaman padi menghampiri setengah juta hektar dengan jumlah air sebanyak 9.3 X 109m3/tahun.

KEGUNAAN BUKAN KONSUMTIF

Penggunaan Bukan Konsumtif bermaksud air yang digunakan tidak mengubah kuantiti asal air tersebut. Ia meliputi penggunaan untuk tujuan Pelayaran & Pengangkutan, Penjanaan Kuasa Hidro, Perikanan dan Rekreasi

1. Pelayaran dan pengangkutan

Sungai telah digunakan sebagai jalan pengangkutan sejak dahulu lagi. Ia digunakan untuk menghubungkan jalan laut dengan kawasan pedalaman yang kaya dengan sumber asli seperti bijih timah. Pembangunan negara dewasa ini telah mengikis sedikit demi sedikit cara pengangkutan ini dengan terbinanya banyak laluan darat seperti jalan raya dan jalan keretapi yang mudah untuk digunakan. Walau bagaimanapun cara pengangkutan ini masih banyak digunakan di Sabah dan Sarawak. Di Semenanjung terdapat beberapa sungai yang masih lagi digunakan untuk pengangkutan. Antaranya Sg. Perak dan Sg. Kelantan.

Pada tahun 1979 sebanyak 10 195 buah bot berdaftar di Jabatan perikanan yang terdapat di 55 buah jeti di sungai-sungai utama di Semenanjung Malaysia. Jenis pengangkutan dapat dibezakan berdasarkan tujuan pengangkutan bot tersebut. Antaranya:-

a. Bot penumpang – menghantar penumpang antara kampung atau menyeberangi sungai.

b. Bot kargo – menghantar hasil pertanian, balak , minyak sawit dan petroleum.

c. bot nelayan – untuk tujuan pergi ke aut untuk menangkap ikan.

Di Sg. Kelantan, jumlah trip sehari antara 4 hingga 6 dengan jumlah bot berdaftar sebanyak 71 buah. Ia menghantar penduduk dari Kg. Laut ke kota Bharu (JICA, 1982f). Dalam kes Sg. Rejang, jumlah penumpang yang menggunakan Bot Ekspres daripada Sibu ke Kapit pada september 1989 antara 545 hingga 722 orang. Bagi Sg. Kinabatangan, selain menghantar penumpang dan hasil pertanian, sungai digunakan untuk menghantar batang-batang balak ke pelabuhan atau ke kilang pemerosesan balak.

2. Penjanaan Kuasa Hidro

Kederasan air amat penting untuk menjanakan kuasa hidro. Sungai yang deras lagi pendek di Semenanjung Malaysia menjadikan ia sesuai untuk tujuan ini. Oleh kerana kebelakangan ini jumlah aliran dan kederasan air sungai semakin berkurangan kesan daripada pelupusan kawasan hutan, banyak empangan telah dibina untuk penjanaan kuasa hidro elektrik. Sarawak merupakan kawasan yang mempunyai keupayaan yang tinggi dalam menghasilkan tenaga hidro iaitu 69.6% diikuti oleh Sabah 17.2% dan Semenanjung Malaysia sebanyak 13.8%. Di Semenanjung Malaysia terdapat tiga sungai utama yang sesuai untuk menjana hidro elektrik iaitu Sg. Pahang, Sg. Kelantan dan Sg. Perak. Menurut laporan JICA (1982d), permintaan tenaga pada tahun 1990 di Malaysia ialah 26 129 Gigawatt/jam (Gw/j) dengan jumlah maksimum tenaga 4 398 mw. Diunjurkan menjelang tahun 2000 tenaga yang diminta sebanyak 60 337 Gw/j dengan tenaga maksimum 10 235 mw.

Untuk menampung keperluan tersebut dianggarkan 29,000 mw akan dijanakan sehingga akhir Rancangan Malaysia Ketujuh. Empangan Kenyir mampu mengeluarkan 400mw, Sg. Piah 70mw, Empangan Pergau 600 mw dan Empangan Bakun dijangka dapat menjanakan tenaga sebanyak 2400 mw pada tahun 2003 (Jabatan Perdana Menteri, 1995). Pada tahun 1988 menunjukkan tenaga hidro menyumbangkan sebanyak 28.32% daripada keseluruhan jumlah tenaga.

3. Rekreasi

Tepi pantai dan kawasan-kawasan perkelahan seperti hutan lipur yang mempunyai sungai dan air terjun menjadi tumpuan semasa hujung mingggu dan cuti umum. Sebagai contohnya Pulau Kapas di Terengganu merupakan pulau yang mempunyai pasir yang cantik dan air yang jernih, disamping terdapatnya Pulau Tioman di Pahang dan Pantai Desaru di Kota tinggi Johor. Banyak tempat-tempat penginapan telah didirikan bermula dari chalet hinggalah ke hotel bertaraf 5 bintang seperti yang terdapat di sepanjang pantai Port Dickson

4. Perikanan

Sektor perikanan juga penting di sepanjang sungai ataupun laut. Di Malaysia perikanan terbahagi dua iaitu samada menangkap terus ikan daripada sungai ataupun memelihara ikan tersebut. Kebiasaannya kedua-dua cara ini dilakukan samada di sungai, tasik, dan kawasan takungan air yang lain seperti lombong timah, sawah padi dan empangan atau kolam binaan. Pada masa ini, kebanyakan aktiviti penangkapan ikan dijalankan di sungai, lombong terbiar dan sawah padi manakala aktiviti pemeliharaan ikan dijalankan di kawasan lombong. Antara ikan yang kebanyakan dipelihara adalah terdiri daripada ikan jenis tilapia, kap, lampam jawa, patin, haruan dan belut.

About these ads

1 Response to "HIDROLOGI & SUMBER AIR"

Kebanyakan empangan di bina dan ‘environmental flow’ di kira sebagai sampingan dan untuk memastikan kehidupan ekosistem downstream boleh survive.

Tapi di Malaysia, adakah kajian tentang empangan yang dibina untuk regulate ‘environmental flow’.

Bukankah Empangan Pedu dan Beris di bina untk tujuan tersebut?

Pendapat tuan? Terima kasih.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

TAKWIM HIJRAH

HARGA EMAS

To get the gold price, please enable Javascript.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: