Anjung ABUAIMAN

DEMAM PEPERIKSAAN

Posted on: October 19, 2008

Minggu hadapan bermula satu episod ulangan yang menjadi sindrom tahunan kepada pelajar di Universiti Malaysia Sabah. Demam Peperiksaan mula menyelubungi pelajar-pelajar. Pelbagai gaya dan ragam yang akan dilakarkan. Ragam yang paling ketara iaitu perpustakaan diguankan secara maksima  selaras dengan sifatnya sebagai menara gading  berbanding hari-hari biasa. Episod demam pepriksaan ini mengingatkanku dengan sahabat-sahabat lama di kampus Universiti Malaya. Antara sahabatku yang sering bersama iaitu Sdr. Khairi Pungot. Kini sedang mengajar di SM Sains Kota Tinggi, Johor. Dataran Satera antara tempat kami melepak/berbincang sehingga 3.00 pagi. Kadang-Kadang meja-meja menjadi “katil” kami diwaktu letih menelaah nota-nota.

Apapun, bersama ini diperturunkan kaedah-kaedah belajar yang mungkin boleh membantu

PERSEDIAAN SEMINGGU-DUA INI

  • Makan makanan berkhasiat dan seimbang: Elak mengambil terlalu banyak makanan yang mengandungi kafein kerana anda mungkin akan sukar tidur dan hilang tumpuan. Elakkan dari memakan makanan masam dan yang telah dicemari semut kerana ia mampu menumpulkan ingatan. Amalkan mengambil 21 biji kismis setiap pagi berserta selawat ke atas nabi sebelum memakannnya. Kalau boleh, gantikan gula dengan madu dalam minuman dan makanan. Alam Niaga Kingfisher dan Farmasi Aslam, ada menjual makanan penguat ingatan. Antaranya Kismis Tok Guru, Wafi, C-Pintars, Madu Khaula.
  • Kajian terhadap topik dan peta minda : Semak sama ada anda memahami sepenuhnya, separuh atau tidak memahami langsung bab berkenaan. Jika ada bab yang belum difahami, segera buat peta minda dengan mencatat maklumat penting yang berkaitan.
  • Semak soalan tahun lalu (setiap subjek): Biarpun soalan akan berubah setiap tahun, anda tetap perlu menyemaknya untuk membandingkan kekerapan topik berkenaan keluar dalam setiap peperiksaan. Analisis kekerapan soalan tahun lepas akan memberi tips berkaitan soalan yang mungkin dikeluarkan.
  • Banyakkan pembelajaran secara output learning : Di saat-saat akhir, anda seharusnya banyak mengulang kaji pelajaran secara output learning iaitu mengeluarkan kembali kefahaman anda kepada bentuk lakaran ataupun menerangkan kepada rakan. Ia dapat membantu menguatkan ingatan terhadap sesuatu mata pelajaran
  • Memperbanyakkan latih tubi: Satu cara untuk menguji sejauh mana pemahaman anda terhadap sesuatu subjek adalah melalui latihan berterusan (latih tubi) dan soalan tahun sebelumnya. Ia mampu menolong anda mengatasi bahagian subjek yang lemah.
  • Nota ringkas: Sifatnya sebagai nota poket dan senang dibawa ke mana saja. Anda boleh membaca catatan nota dimana sahaja anda berada tanpa memerlukan buku.
  • Pastikan anda bersenam: Jangan lupa bersenam sekurang-kurangnya 20 minit bagi memastikan badan kekal cergas. Pengaliran oksigen yang baik boleh menghasilkan otak yang cerdas. Jaga kesihatan diri kerana jika badan tak sihat, macam mana nak belajar atau mengingati pelajaran dengan baik?
  • Banyakkan berdoa, bersolat dan jangan lupa bertawakal: Sebagai makhluk yang lemah, berdoalah kepada Allah s.w.t. Perbanyakkan solat hajat, tahajud dan berdoa memohon bantuan-Nya. Sebelum melangkah ke dewan peperiksaan, pohon keampunan dan keredaan daripada ibu bapa dan pensyarah anda. Jangan lupa bertawakkal.

SEHARI SEBELUM PEPERIKSAAN

  • Pastikan mendapat tidur dan rehat secukupnya: Biar sesibuk mana sekalipun, anda perlu mendapat tidur dan rehat cukup. Otak tidak mampu berfungsi dengan baik sekiranya ia letih. Terdapat kes pelajar tertidur dalam dewan pepriksaan.
  • Pastikan jadual setiap subjek dengan tepat: Dua tahun lepas, ada beberapa kes pelajar tersalah lihat jadual. Sangkaan subjeknya diadakan pada waktu petang padahal telah dijalankan waktu pagi. Akhirnya ia dapat X. Menangis-merayu tanpa jawapan.
  • Kawal emosi: Elak terbabit dalam sebarang konflik, jangan menimbulkan sebarang pertelingkahan atau terasa hati dengan rakan-rakan atau keluarga kerana ia boleh menggugat ketenangan ketika anda menjawab soalan kelak.

SEMASA DIDEWAN PEPERIKSAAN

  • Jangan panik: Sebaik melangkah masuk ke dewan peperiksaan, jangan berasa panik kerana ia mampu membuatkan kita lupa sebahagian daripada apa yang sudah dipelajari selama ini. Tanamkan keyakinan dalam diri anda boleh menjawabnya.
  • Mulakan dengan Bismillah dan Doa. Pada saat anda duduk di meja peperiksaan, mulakan dengan Bismillah dan berdoa agar diberi ketenangan, kemudahan dan idea yang meluas semasa menjawab soalan.
  • Pastikan anda menyediakan rangka jawapan terlebih dahulu. PENTING- pilih soalan dan sediakan terlebih dauhulu rangka jawapan bagi kesemua soalan yang dipilih sebelum mengarang jawapan. Ditakuti anda terlupa jawapan soalan lain sekiranya anda mengarang jawapan terlebih dahulu.

Leave a comment

TAKWIM HIJRAH

HARGA EMAS

To get the gold price, please enable Javascript.