Anjung ABUAIMAN

Archive for the ‘Tazkirah Kita’ Category

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar. Dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa Dia kebesaran malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.


ANTARA AMALAN NABI S.A.W

1. Mandi antara Maghrib dan Isyak, memakai pakaian yang paling baik dan memakai haruman

Ibn Abi ‘Asim meriwayatkan dari Aisyah r.a:

“Rasulullah SAW jika berada dalam bulan Ramadan baginda seperti rutin hariannya tidur dan bangun. Tatkala memasuki 10 hari terakhir baginda mengikat kainnya dan menjauhkan diri dari bersama-sama para isterinya, serta baginda mandi antara Maghrib dan Isyak”. (Terdapat riwayat Abu Hurairah yang menyokong hadis ini)

Dalam riwayat lain daripada sahabat seperti Anas ibn Malik dan ulama pada masa tabi’en menyatakan bahawa mereka akan mandi, memakai baju yang paling baik dan memakai haruman atau wangian apabila berada pada akhir Ramadan. Apa yang dilakukan oleh Rasulullah, sahabat dan tabi’en ini adalah satu usaha menyambut dan meraikan kedatangan lailatul qadr, sambil berdoa mendapatkan keampunan dan keberkatan malam itu. Justeru pada malam-malam terakhir Ramadan di samping mencari lailatul qadr dianjurkan membersihkan diri dan memakai wangian dan haruman, sebagaimana ia turut dianjurkan ketika Aidilfitri dan Aidiladha.

2. Mencari lailatul qadr

Umat Islam dianjurkan agar mencari dan merebut lailatul qadr. Hal ini bertepatan dengan sabda baginda yang bermaksud,

Carilah malam lailatul qadr pada 10 malam terakhir. (riwayat al-Bukhari)

Dalam salah satu riwayat dikatakan bahawa Rasulullah SAW melakukan solat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib. Baginda tidak akan melalui ayat rahmat kecuali berharap agar Allah memberikan rahmat itu dan tidak melalui ayat azab kecuali memohon perlindungan daripada Allah daripada azab itu. Solat berjemaah juga sangat diutamakan pada malam akhir Ramadan. Rasulullah bersabda:

“Sesiapa yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh secara berjemaah pada waktu malam, dia telah mengambil menghidupkan seluruh malam itu”. (Riwayat Abu Dawud).

Maksudnya sesiapa yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh saja dianggap telah mendapat sebahagian apa yang dimaksudkan dengan lailatul qadr. Apatah lagi jika mengisinya dengan amalan lain sepanjang malam itu.

3. Melewatkan sahur

Daripada Sahl ibn Sa’d berkata:

Sesungguhnya aku pernah bersahur bersama keluargaku dan aku sempat untuk sujud bersama dengan Rasulullah SAW. (riwayat al-Bukhari)

Perlakuan ini turut diceritakan oleh Zaid ibn Thabit berkata:

“Kami pernah bersahur bersama Rasulullah SAW kemudian kami bersolat dengan baginda. Lantas Anas bertanya, Berapakah jarak di antara sahur itu dengan solat? Zaid menjawab, kira-kira 50 ayat. (riwayat al-Bukhari)

4. Melakukan iktikaf

Iktikaf adalah sunnah yang dianjurkan oleh Baginda SAW demi memperolehi kelebihan dan ganjaran lailatul qadr (malam yang lebih baik dari 1,000 bulan). Firman Allah dalam surah al-Qadr yang bermaksud:

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) pada malam Lailatul Qadr, dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadr itu? Malam Lailatul Qadr lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah malam (yang berkat) itu sehingga terbit fajar. (al-Qadr: 1-5)

Menjelang 10 akhir Ramadan secara rutinnya Rasulullah SAW mengisi waktu-waktunya dengan beriktikaf di masjid. Pelakuan baginda ini berdasarkan hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a Bahawa Rasulullah SAW beritikaf pada 10 akhir daripada Ramadan sehingga baginda diwafatkan oleh Allah, kemudian (diteruskan sunnah) iktikaf selepas kewafatannya oleh para isterinya. Dalam sebuah hadis lain Bahawasanya Abu Hurairah berkata:

“Rasulullah SAW selalu beriktikaf pada tiap-tiap sepuluh hari terakhir Ramadan, manakala pada tahun Baginda diwafatkan, Baginda beriktikaf selama 20 hari”. (riwayat Ahmad, Abu Dawud, al-Tirmidzi dan dinilai sahih oleh al-Tirmidzi)

5. Membanyakkan doa

Ulama bersepakat bahawa doa yang paling utama pada malam al-Qadar adalah doa memohon keampunan atau maghfirah daripada Allah SWT. Dalam satu hadis sahih yang diriwayatkan daripada Aisyah dan dikeluarkan oleh al-Imam al-Tirmidzi dan dinilai hasan sahih, Aisyah diajar oleh Rasulullah membaca doa pada malam al-Qadar. Doanya berbunyi:

Allahumma innaka afuwwun karimun tuhibbul afwa fa’ fu anni yang bermaksud: Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengampun, yang suka mengampun, maka ampunilah aku. (al-Tirmidzi 5:535)

Rasulullah SAW turut berdoa yang bermaksud:

“Ya Allah, jadikan sebaik-baik umurku adalah penghujungnya. Dan jadikan sebaik-baik amalku adalah penutupnya. Dan jadikan sebaik-baik hari-hariku adalah hari di mana aku bertemu dengan-Mu Kelak”. (Musannaf Ibn Abi Syaibah 6: 65)

PS : Nukilan ini bersumberkan http://nurjeehan.hadithuna.com/2009/09/teladani-10-akhir-ramadan-nabi/. Mohon izin dipaparkan disini

  1. Wahai manusia!  Sungguh telah datang kepada kalian bulan ALLAH dengan membawa berkat, rahmat dan keampunan. Inilah bulan yang paling afdhal di sisi ALLAH.  Hari-harinya adalah hari-hari yang paling afdhal.  Malam-malamnya adalah malam-malam yang paling afdhal.  Detik-detiknya adalah detik-detik yang paling afdhal.
  2. Inilah bulan di mana kamu semua diundang menjadi tetamu ALLAH.  Inilah bulan di mana kamu semua dimuliakan olehNYA. Di bulan ini nafas-nafasmu dihitung sebagai tasbih.  Tidurmu dihitung sebagai ibadah.  Amal-amalmu diterima.  Doa-doamu dimakbulkan.
  3. Bermohonlah kepada TUHANmu dengan niat tulus dan hati yang suci agar DIA membimbingmu ketika menjalani  puasa dan membaca KitabNYA yang mulia.
  4. Celakalah orang yang tidak mendapat keampunan ALLAH di bulan yang agung ini.
  5. Kenanglah kelaparan dan kehausan di hari kiamat ketika kamu rasa lapar dan dahaga ketika berpuasa di bulan ini. Bersedekahlah kepada faqir dan miskin. Muliakan orang yang lebih tua dari kamu.  Sayangi yang lebih muda dari kamu. Sambungkanlah tali persaudaraan sesama ummah.
  6. Jaga lidahmu.  Tahan pandanganmu dari apa yang tidak halal dipandang.  Tahanlah telingamu dari apa yang tidak halal didengar.
  7. Kasihilah anak-anak yatim, nescaya anak-anak yatimmu dikasihi manusia setelah kematianmu.
  8. Bertaubatlah kepada ALLAH dari dosa-dosamu.  Angkatlah tangan-tanganmu untuk berdoa pada waktu-waktu solatmu. Itulah saat yang paling utama kerana ketika itulah  ALLAH AZZA WA JALLA memandang hamba-hambaNYA dengan penuh kasih sayang.  DIA mendengar kita ketika kita berbisik-bisik (munajat) kepadaNYA.  DIA datang kepada kita ketika kita memanggilNYA.  DIA mengabulkan doa-doa kita ketika kita berdoa kepadaNYA.
  9. Wahai manusia! Sesungguhnya dirimu tergadai kerana perbuatanmu.  Bebaskan dirimu dengan banyak-banyak memohhon ampun (beristighfar) kepadaNYA. Bahumu berat menanggung  beban dosa-dosamu.  Dengan itu, ringankanlah bebanmu dengan bersujud lama-lama. Ketahuilah! Sesungguhnya ALLAH SWT bersumpah dengan kemuliaanNYA bahawa DIA tidak akan menyiksa orang-orang yang mendirikan solat dan orang-orang yang bersujud.  DIA juga bersumpah bahawa DIA tidak akan menghumban mereka ke dalam api neraka pada hari manusia dibangkitkan menuju TUHAN sekalian alam.
  10. Wahai manusia! Barangsiapa di antara kamu memberi buka (ifthar) kepada orang-orang mukmin yang berpuasa di bulan ini, maka di sisi ALLAH nilainya sama dengan membebaskan seorang hamba.  Dia juga diberi ampunan atas dosa-dosanya yang lalu. Sahabat-sahabat ra bertanya : “Ya RasulALLAH!  Tidak semua kami mampu berbuat demikian”.  RasulULLAH saw bersabda : “Jagalah dirimu dari api neraka walaupun dengan setengah belahan buah kurma.  Jagalah diri kamu dari api neraka walaupun dengan seteguk air.  Sesungguhnya  ALLAH SWT tetap memberi pahala kepada orang yang beramal walaupun sedikit amalnya, jika ia benar-benar tidak mampu melakukan lebih dari itu.”
  11. Wahai manusia! Siapa yang memperindah akhlaknya di bulan ini, ia akan berjaya melintasi Sirat pada Hari Qiamat ketika kaki-kaki tergelincir. Siapa yang meringankan beban pekerjaan pembantu dan pegawainya di bulan ini, ALLAH akan meringankan beban hisabNYA di Hari Qiamat. Barang siapa menahan keburukannya di bulan ini, ALLAH akan menahan murkaNYA pada hari ia berjumpa denganNYA. Barangsiapa yang memuliakan anak yatim di bulan ini, ALLAH akan memuliakannya pada hari ia berjumpa denganNYA. Barangsiapa menyambungkan tali persaudaraan (silaturrahim) di bulan ini ALLAH akan menghubungkan dia dengan kasih sayangNYA pada hari ia berjumpa denganNYA. Barangsiapa yang memutuskan silaturrahim di bulan ini, ALLAH akan memutuskan ia dengan kasih sayangNYA pada hari ia berjumpa denganNYA.
  12. Barangsiapa melakukan solat sunat di bulan ini, ALLAH akan mencatat baginya kebebasan dari api neraka. Barangsiapa melakukan solat fardhu, baginya ganjaran 70 kali solat fardhu di bulan yang lain. Barangsiapa memperbanyak selawat kepadaku di bulan ini, ALLAH akan memberatkan timbangannya pada hari ketika timbangan meringan. Barangsiapa membaca satu ayat Al Quran di bulan ini, ganjarannya seperti mengkhatam al Quran pada bulan lainnya.
  13. Wahai manusia! Sesungguhnya pintu-pintu syurga dibukakan bagimu di bulan Ramadhan ini. Maka mohonlah kepada TUHANmu agar pintu-pintu syurgaNYA tidak akan tertutup bagimu sampai bila-bila. Sesungguhnya pintu-pintu neraka tertutup bagimu di bulan Ramadhan ini. Maka mohonlah kepada TUHANmu agar pintu-pintu lubang neraka akan terus tertutup bagimu sampai bila-bila. Sesungguhnya syaitan-syaitan terbelenggu di bulan Ramadhan ini. Maka mohonlahlah kepada TUHANmu agar syaitan-syaitan tidak akan lagi menguasaimu sampai bila-bila.
  14. Amirul mukminin ‘Ali bin Abi Thalib kw berkata : “Aku berdiri dan berkata : “Ya RasulALLAH! Apakah amal yang paling utama di bulan ini?” Jawab Nabi saw : “Ya Abal Hasan! Amal yang paling utama di bulan ini adalah menjaga diri dari apa yang diharamkan ALLAH SWT.

PS: Terima kasih sahabat saya, Dr. Zuhdi (UM) kerana menyebarkan tazkirah ini. Mohon izin untuk dipaparkan dalam blog ini

  1. Tepat jam 6.28 malam 25hb lalu , bilal telah meniupkan wisel tanda bermulanya separuh masa kedua perlawanan akhir, Piala  Juara-Juara Ramadan di antara Taqwa United dan Nafsu City. Pengkritik dan  penganalisa bola sepak tanah air (ustaz-ustaz) telah banyak memberikan pandangan  serta komentar yang pedas tentang persembahan longlai pasukan tempatan, Taqwa  United dalam tempoh separuh masa pertama perlawanan di konti-konti Masjid  berdekatan. Untuk makluman saudara sekalian, Taqwa United sedang ketinggalan 3-0  oleh seteru tradisi, Nafsu City. Dua gol daripada penyerang berbisa Nafsu City  iaitu Emmanuel Amarah manakala satu lagi gol daripada Carlos Tamak meletakkan  pasukan mereka sebelah tangan menggenggam piala teragung buat umat.
  2. Strategi  3-4-4 dengan 4 orang striker yang digunakan team Nafsu City sukar dikekang  barisan pemain muda United. Barisan pertahanan team tempatan yang diketuai oleh Zikir Selawat dan pemain kelahiran Narathiwat, Wirid Harian lemas dalam asakan  rangkaian serangan emas yang dibarisi David Serakah, Carlos Tamak, Mario Berahi  dan Emmanuel Amarah (Pemenang Kasut Emas Liga Juara Ramadan musim lalu dengan 30  gol setiap hari). Penganalisa berpendapat jurulatih pasukan Taqwa United, Sir  Iman DHati perlu melakukan rombakan besar-besaran bukan sahaja dari sudut taktik malahan pemain. Pemain-pemain veteran yang longlai seperti Pose Kosong dan Tido  Slalu perlu diganti dengan pemain muda berbakat seperti Ikhlas Sedekah atau  Tadarus Quran demi memantapkan jentera tengah pasukan Taqwa United.
  3. Pemain-pemain veteran kelihatan tidak bermaya dan gagal mengekang kelincahan Gareth Boros, Yaya TakIngatDosa dan James Maksiat yang menggunakan kaum Hawa  sebagai alat menganggu konsentrasi pemain Taqwa United terutama di sudut padang  sekitar pusat membeli-belah dan bazaar Ramadhan. Begitu juga dengan rangkaian  serangan pasukan United yang diterajui Tahjud-Din dan Munajat Malam(MM), MM perlu dikerah untuk beraksi di segenap kotak sejadah bagi mengucar-kacirkan kubu  pertahan lawan yang dikawal ketat Jolelon Lagho Kolo TidoLajak dan dibantu oleh  Jerome BosanBeribadah, JBB. Tambahan pula, penyerang berkembar itu perlu  mengelakkan diri daripada terus diselimuti tembok besar pasukan Nafsu City itu agar gol-gol kemenangan dapat dijelmakan.
  4. Namun penganalisa tempatan begitu  optimis bahawa team Taqwa United mampu mengurang defisit tiga gol lawan dalam  separuh masa kedua nanti. Dengan ketiadaan ketua jurulatih pasukan City yang  digantung, Iblis dan pembantu jurulatih, Satan, pasukan Taqwa United masih berpeluang merangkul kejuaraan kurniaan Ilahi seterusnya meraikan kemenangan di  Aidilfitri. Sewaktu wawancara bersama Sir Iman DHati, anak buahnya bersemangat  mengejar bonus dan ganjaran berlipat kali ganda yang dikurniakan pada 10 minit  terakhir permainan. Mereka juga berharap tuah Lailatul Qadar menyebelahi mereka  untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi mereka tahun lalu. Selain itu, beliau juga berharap agar ibrah Nuzul Quran dapat dijadikan tonik kemenangan dan  pembakar semangat buat pasukan muda United mengejar impian mereka bergelar  Juara.
  5. Oh ! Kelihatan, penyokong pasukan Nafsu City dan Taqwa United sudah mula  memenuhi semula tempat duduk masing-masing. Penyokong kedua-dua pasukan bersorak bersungguh-sungguh demi membangkitkan semangat team kesayangan mereka. Team sorak Nafsu City dengan pakaian yang menjolok mata dan mengurangkan pahala manakala team sorak Taqwa United dengan pakaian seorang Muslim sejati juga telah berkumpul di tepi padang untuk terus menghangatkan bahang perlawanan.
  6. Siapakah  yang akan memenangi perlawanan berprestij ini? Layakkah team Taqwa United menerima imbuhan pelepasan api neraka seperti yang dijanjikan Ilahi selepas tamat perlawanan? Atau kemenangan akan bertukar tangan kepada pasukan yang  berbelanja besar, Nafsu City musim ini ? Jika kemenangan bertukar tangan maka  imbuhan kemenangan yang diperolehi akan dijadikan modal oleh Iblis dan Satan  untuk terus berbelanja besar pada musim hadapan mengikat pemain-pemain terbaik dunia seterusnya menutup peluang pasukan lain mengejar impian akhirat. Sama-sama kita saksikan kesudahan perlawanan akhir ini.
P/S : Sketsa ini saya perolehi daripada sahabat seperjuangan alumni Universiti Malaya. Saya ucapkan terima kasih kepada insan yang menukilkan sketsa ini. Cuma saya tidak tahu sumbernya untuk diletakkan di sini. Semoga penukil ini sentiasa dirahmati Allah s.w.t

Sumber : Institut Pemikiran TGNA (http://ipnaa.blogspot.com/)

tazkirah1

  1. Jangan jadi kuli kecuali menjadi kuli Tuhan. Jangan makan gaji selain makan gaji dengan Tuhan.
  2. Sebagaimana kita, bila makan gaji – dengan orang ke, dengan kerajaan ke, dengan kompeni ke, dengan orang kampung ke – tentulah kita kena buat mengikut apa yang majikan kita hendak walaupun kita sendiri berasa payah, berasa lambat kalau ikut kehendak majikan kita. Tetapi kerana kita makan gaji, kita kena buat serupa dengan tuan kita hendak.
  3. Kita dengan Tuhan kena lagu (macam)  itu juga. Bila Tuhan kata Aku hendak kamu buat lagu ini – payah ke, susah ke, terkepit ke, sakit ke kamu kena buat juga sebab kamu makan gaji dengan Aku.
  4. Kalau kamu tidak hendak makan gaji dengan Tuhan, kamu hendak makan gaji dengan siapa lagi? Sudah pasti kamu makan gaji dengan syaitan. Tidak ada sebab kita hendak makan gaji dengan syaitan kerana syaitan tidak buat kita, syaitan tidak buat bumi tempat kita berpijak, tidak buat langit tempat kita junjung, tidak buat udara untuk kita bernyawa, tidak buat sedikit apapun. Jadi tidak ada sebab kita hendak makan gaji selain dengan Allah taala.
  5. ”Makan gaji dengan manusia dia bayar dengan duit tetapi makan gaji dengan Tuhan dia bayar dengan syurga, bila mati baru boleh terima gaji. Sebab itulah kita bersembahyang, kita berpuasa, kita bersedekah, kita mengajar, kita mengaji walaupun kadang-kadang benda-benda ini dirasakan serabut dan menyusahkan. Mengapa menyusahkan diri dengan sembahyang, padahalnya yang tidak sembahyang ramai yang boleh hidup?
  6. Jawabnya, oleh kerana AKU MAKAN GAJI DENGAN TUHAN, aku kena turut kehendak Tuhan

Oleh : Ustaz Nik Nazri http://www.niknasri.com/?p=821

tazkirah1Kita sedang berada di bulan Ramadhan. Setiap kali ia tiba, jiwa orang mukmin merasa sangat gembira. Di bulan inilah ganjaran dan pahala sangat besar disediakan oleh Allah. Ramadhan juga mengajar kita mengoreksi diri dan amalan kita selama ini.

Senarai semak di bawah barangkali memudahkan kita membuat penilaian, muhasabah atau ‘self-audit’ sempena Ramadhan kali ini, dalam keadaan Ramadhan masih berada di awal. Tanya diri anda dan jawab berpandukan skala liket dibawah

1.   sangat tidak setuju     2. tidak setuju     3. setuju     4. sangat setuju

Perkara yang dilaksanakan:

  1. Kualiti puasa meningkat tahun ini
  2. Mulut dipelihara dari memperkata sesuatu yang tidak baik (cth: umpat, fitnah, bohong, bual kosong)
  3. Telinga dijaga dari mendengar perkara yang tidak baik(cth: umpat, fitnah, muzik, lagu)
  4. Mata dipelihara dari memandang perkara yang haram(cth: aurat perempuan asing)
  5. Tangan dijaga dari membuat sesuatu yang haram(cth: tandatangan borang tuntutan salah)
  6. Kaki dipelihara dari berjalan ke tempat yang haram (cth: ke kelab malam, konsert AF/ jomheboh)
  7. Quran dibaca setiap hari
  8. Quran dikhatam paling kurang sekali Ramadhan kali ini
  9. Solat Terawih setiap malam 8 / 20 rakaat dan witir
  10. Sedekah kepada fakir miskin
  11. Iktikaf di masjid terutama di akhir Ramadhan
  12. Menghidupkan malam mencari ‘Lailatul Qadar’
  13. Merasai penderitaan sebagaimana fakir miskin
  14. Zakat fitrah ditunaikan dengan nilai lebih
  15. Berbelanja secara sederhana sepanjang Ramadhan
  16. Kualiti kerja meningkat
  17. Jiwa rasa lebih hampir dengan ALLAH

Ini adalah di antara perkara yang boleh dinilai oleh empunya diri. Tambahlah item yang anda rasakan tertinggal. ‘Tepuk dada, Tanya iman.’. Moga Ramadhan kali ini lebih baik dari Ramadhan tahun lepas.

tazkirah1Sabah berada ditempat teratas dilanda H1N1 jika dibandingkan dengan negeri lain di Malaysia. Dengan jumlah penutupan sekolah melebihi 10 buah sudah menjadi petunjuk kepada pelebaran wabak ini. Belum sempat berakhir H1N1, jerebu pula melanda sejak ahad lepas. Persoalannya, ialah kenapa Sabah menjadi pilihan kepada fenomena ini.

Jerebu-Content

Jerebu merupakan fenomena atmosfera yang berlaku apabila debu, asap dan zarah pencemaran lain yanng terdiri daripada habuk, jelaga, debu, abu dan gas pada atmosfera rendah iaitu pada kedudukan di bawah paras 2 km. Walaupun fenomena ini diihat mengaburi pemandangan indah ciptaan Allah, namun beberapa gas berbahaya turut terapung bersama jerebu iaitu karbon monoksida, methan, nitrat berasid, sulfat berasid  dan lain lain kimia. Kewujudannya gas-gas ini, boleh mengancam aktiviti dan kesihatan manusia. Mengingatkan kejadian jerebu pada tahun 1997, MALAYSIA mengalami kerugian lebih kurang RM34 bilion dari sektor pertanian dan perlancongan dan ini tidak termasuk lain-lain sektor. Kesihatan manusia juga turut terjejas dan dianggarkan lebih 20 juta penduduk di rantau ini dikatakan mengalami penyakit berkaitan pernafasan sepanjang kejadian itu.

Sebagai umat yang beriman, fenomena-fenomena sebegini sepatutnya dilihat dalam kerangka ketuhanan kerana setiap sesuatu yang berlaku ada sebab. Mungkin sudah banyak kerosakanyang kita lakukan di bumi ini samada kerosakan persekitaran fizikal seperti pemusnahan tumbuhan, perataan bukit, pencemaran sungai  ataupun mungkin, sistem hidup berlandaskan Al-Quran itu sudah dirosakkan oleh kita dan berlawanan dengan fitrah kita sebagai hamba Allah. Dalam konteks sebegini, adalah elok untuk kita melihat dan meneliti satu firman Allah s.w.t dalam Al-Quran, surah Ar-Ruum  ayat 41:

Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut Dengan sebab apa Yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya Yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk Yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)

Ertinya, bagi orang mukmin musibah sebegini sebenarnya adalah teguran daripada Allah terhadap kesalahan dan tingkah laku manusia yang sudah terlalu jauh menyimpang dan meninggalkan ajaran sebenarnya. Musibah ini memperingatkan kita untuk kembali ke pangkal jalan meninggalkan kemaksiatan dan dosa, kembali kepada kebenaran. Bencana yang berlaku ini adalah peringatan Allah kepada manusia, maka sewajarnya kita merenung dan bercermin diri untuk mengingat kesilapan yang dilakukan, seraya bertaubat dan memohon ampun kepada Allah, Tuhan pemilik alam ini sebelum terlambat. Allah masih sayang kepada kita kerana musibah yang datang masih dalam bentuk peringatan bukan dalam bentuk bencana. Sekiranya bencana yang datang bukan lagi dalam bentuk teguran tetapi bencana yang memusnahkan kita dan alam ini seperti banjir besar pada umat Nabi Nuh dan gempa bumi pada umat Nabi Luth, menunjukkan Allah sudah begitu murka dan tidak kasih dengan kita.

Sebagai umat beriman, jalan terbaik untuk menolak bala dan bencana serta memudahkan datangnya kasih sayang Tuhan adalah dengan mengukuhkan iman dan takwa. Hal ini dengan tegas Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Andai kata penduduk satu negeri itu benar-benar beriman dan bertakwa, maka kami akan bukakan kepada mereka keberkatan kami yang datang dari langit mahupun yang tumbuh dari bumi. Akan tetapi jika mereka mendustakan ayat kami, maka kami akan azab mereka akibat daripada perbuatan mereka sendiri ” (Surah al-A’raf, ayat 96).

Menarik faktanya. Mungkinkah ada pihak yang mengaut keuntungan di atas wabak ini.

  • Menurut Mike Adams, aktivis dan penulis NaturalNews.com, mitos tentang virus dicipta oleh pihak tertentu, menyebarkan virus tersebut dengan sengaja untuk mengakibatkan kucar kacir dan dalam masa yang sama mengaut keuntungan berlipat ganda adalah sebenarnya fakta yang telah berlaku dan sedang berlaku! Sepertimana yang telah dilaporkan oleh LifeGen.de -Deerfield, Illinois-Syarikat Baxter International Inc telah dibongkar kejahatannya apabila salah seorang pegawainya ditangkap sedang membuat penghantaran virus hidup selsema burung yang dicampur dengan perkakas vaksin kepada pembekal perubatan di 18 buah negara. “Kesilapan” ini dibongkar oleh National Microbiology Laboratory, Canada. Persoalannya, bagaimana perkara ini boleh berlaku? Jika dilihat dari sudut pandang yang berbeza, Baxter dilihat sebagai satu organisasi bio-terroris yng dengan sengaja menghantar virus ke seluruh dunia. Masakan mempertahankan tanahair dari cengkaman penjajah barat dan mempertahankan akidah dengan mengangkat senjata ketika diperangi dianggap pengganas, dan Baxter, yang semestinya didalangi oleh beberapa pemimpin dunia kapitalis terlepas walaupun ada buktinya?Terus membaca di SINI

P/S: Sekiranya tanda-tanda berikut ada pada anda, sila kuarantinkan diri anda di hospital.

HIN1

Untuk langkah berjaga-jaga, sila muat turun panduan INI (Dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Singapura).


TAKWIM HIJRAH

HARGA EMAS

To get the gold price, please enable Javascript.