Anjung ABUAIMAN

Archive for the ‘Alam Sekitar’ Category

Advertisements

Atasi Kesesakan Lalu Lintas Dan Banjir Keutamaan Mayor Baru Kota Kinabalu

KOTA KINABALU, 22 Mac (Bernama) — Datuk Abidin Madingkir yang dilantik sebagai Mayor Kota Kinabalu yang ketiga pada 2 Feb lepas, meletakkan masalah kesesakan lalu lintas dan banjir kilat di bandar raya ini sebagai antara agenda utama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk ditangani.

“Mencari jalan penyelesaian kepada dua perkara ini yang sering menjadi topik hangat di bandar raya ini bukanlah mudah untuk dicapai dalam sekelip mata.

“Tetapi saya percaya kita harus mempunyai inisiatif untuk memulakan sesuatu dan mencari jalan penyelesaian jangka masa panjang,” katanya pada majlis makan tengah hari DBKK dengan media di sini pada Selasa.

Beliau juga akan meneruskan agenda 3K DBKK iaitu kebersihan, keindahan dan keselamatan yang dimulakan mayor terdahulu Datuk Iliyas Ibrahim, terutama dalam memperhebatkan Kempen Anti Kutu Sampah dan program pengurangan penggunaan beg plastik.

Abidin juga berkata jumlah anggota dan kakitangan DBKK yang seramai kira-kira 1,800 orang berbanding jumlah penduduk bandar raya yang dianggarkan lebih 500,000 orang adalah terlalu kecil nisbahnya dan sukar untuk memenuhi kehendak setiap ahli masyarakat dalam masa yang diharapkan.

Bagaimanapun, beliau berkata senario itu tidak akan melemahkan semangat DBKK untuk mencuba memenuhi kehendak dan permintaan serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat bandar raya Kota Kinabalu.

“Masyarakat bandar raya Kota Kinabalu amat penting bagi kami dan kami mendokong gagasan 1Malaysia iaitu Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan,” katanya.


Abidin berkata DBKK juga amat memerlukan media sebagai rakan kongsi dalam menyampaikan maklumat mengenai dasar dan program DBKK kepada masyarakat.

“Menganjurkan aktiviti kemasyarakatan di peringkat tempatan, nasional dan antarabangsa adalah antara peranan kami untuk memastikan bandar raya ini tetap ceria, di samping menyokong usaha kerajaan mempromosikan Kota Kinabalu sebagai pusat peranginan terkenal di rantau ini,” katanya.

— BERNAMA


TAKWIM HIJRAH

HARGA EMAS

To get the gold price, please enable Javascript.